Wednesday, February 22, 2012

MILIK KITA (2)


Humaira terbangun mendengar berita yang baru keluar dari mulut ibunya. Dia memandang setiap muka yang berada disamping ibunya seperti tidak percaya. Macam mana keputusan ini dibuat tanpa persetujuannya? Dia memicit kepala beberapa kali. Kenapa dia? Kenapa bukan orang lain? Bersepah perempuan kat sini takkan satu pun dia tidak berkenan. Kenapa pula dipilihnya aku, sepupunya sendiri?
“Adik tak percaya. Mak main-main, kan?,” terasa seperti ingin menangis dia kala itu. Sebak terasa di dalam dada.
“Mak serius, sayang. Majlis adik akan dilangsungkan dua minggu selepas majlis pertunangan pada hari raya ketiga ni,” terduduk Humaira di atas lantai. Matanya mula basah.
“Kenapa mak buat adik macam ni? Mak tak sayang kat adik ke?,” Puan Rozi mengeluh lemah. Sayu hatinya melihat anak perempuannya itu. Dia mendapatkan anaknya itu. Bahu Humaira dipegang kejap lalu di usap lembut.
“Sebab mak sayang adik, mak buat macam ni. Dah sampai masanya mak tunaikan janji mak pada arwah ayah. Arwah ayah tak nak adik terlepas ke tangan orang lain, sebab itu arwah membuat janji dengan Pak Usu. Alhamdulillah, Riz pun terbuka hati melamar adik sebelum wasiat arwah ayah diketahuinya. Mak tak nak paksa adik, tapi memandangkan ini permintaan ayah, mak tiada pilihan lain. Nak atau tidak, mak dah terima lamaran tu,” terasa seperti jatuh berjuta beban ke atas dirinya.
“Kenapa adik, mak? Semua ni tak adil untuk Aira,” Puan Rozi memandang Zulhilmi yang sedang menggaru kepala.
“Adik pergilah rehat dulu. Solat. Minta petunjuk untuk semua ni. Mak yakin, Riz adalah jodoh yang telah ditetapkan untuk adik. Dia mampu menjaga adik,” kepala Humaira diusap lembut.
“Ingat kat ayah. Jangan seksa ayah kerana janji yang tidak tertunai dibumi ni,” Zulhilmi memberi peringatan kepada adiknya. Zulfikar dan Zulkarnaim mendiamkan diri. Mereka tidak tahu apa yang patut di buat. Rasa kasihan melihat adik bongsu mereka mengatasi segalanya.
“Cukuplah untuk malam ni. Along hantar adik ke bilik,” Zulfikar terpaksa bertegas. Dia tidak tega melihat keadaan Humaira yang menangis sayu dalam dakapan ibunya. Zulfikar mencempung tubuh Humaira. Humaira tidak membantah. Tubuh alongnya dipeluk erat. Puan Rozi memandang kedua-dua anaknya hilang dari pandangan sebelum Zulkarnaim mengekori langkah abangnya. Zulhilmi menekup muka dengan kedua tapak tangan. Dia menangis sayu. Terasa menyesal kerana tidak membantah cadangan arwahnya untuk menjodohkan Humaira setelah umurnya genap 20 tahun. Kasihan adiknya itu. Puan Rozi bersandar lemah. Kuatkanlah hati aku, Ya ALLAH.

Zulkarnaim mengelus lembut rambut Humaira. Zulfikar pula duduk dihadapan meja solek memandang Humaira yang masih menangis.
“Adik tak nak, along,” suara beserta esak tangis itu meluluhkan perasaan Zulkarnaim dan Zulfikar.
Zulkarnaim memandang abangnya, meminta kebenaran. Zulfikar mengangguk. Biarlah bicara seorang peguam yang memujuk adiknya.
“Adik, apa yang alang nak cakap ni, alang harap adik terimanya. Alang nasihatkan adik terima lamaran tu. Ini untuk kebaikan ayah di sana. Adik nak ke ayah terseksa?,” Humaira menggeleng kepala. Siapa yang mahu ayah sendiri terseksa di dalam kubur?
“ Janji yang telah termeterai antara ayah dan Pak Usu hanya dapat diselesaikan dengan keputusan adik. Alang tak nafikan yang adik berhak menolak, tapi adik tak kasihankah pada ayah? Adik tahukan apa hukumnya orang yang memungkiri janji? Dan adik pun tahu tanggungjawab yang digalas mak untuk melaksanakan wasiat arwah ayah. Adik nak ke mak dapat balasan di akhirat kerana tidak melaksanakan apa yang telah digalasnya di dunia? Mak dah tua. Entah bila mak akan pergi pun kita tak tahu. Alang bukan mendoakan supaya mak cepat mati. Tapi alang nak adik fikir semula keputusan yang adik buat ni. Mak dan ayah akan sama-sama seksa dalam kubur kerana perkara ni tak dilaksanakan. Mungkir janji dan tanggungjawab tidak dilaksanakan. Mak mana nak tengok anak dia menderita, dik. Alang tahu mak pun sedih nak lepaskan adik pada orang lain. Adik masih muda. Tapi, lambat atau cepat, satu hari nanti adik tetap akan kahwin. Mak terima dengan hati yang redha. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi yang kita tak tahu,” Zulkarnaim mengintai sedikit wajah adiknya yang basah.
“Fikirkanlah adik. Apa pun keputusan adik, along dan alang tetap ada di belakang adik,” Humaira mengesat air matanya dengan tangan.
“Tidurlah,” Zulkarnaim menarik gebar ke tubuh Humaira lalu dicium dahi itu sebelum melangkah keluar dan di ikuti Zulfikar.

Dua minggu berlalu begitu saja. Kuliahnya sudah bermula. Hidupnya terasa asing dengan gelaran yang disandangnya seminggu yang lalu. Tunang kepada Muhammad Hariz bin Muhammad Razzi, seorang arkitek. Dirinya terasa kosong. Gelaran itu mengubah hidupnya sekelip mata. Demi arwah ayah, dia sanggup menggalas semuanya. Masih segar di ingatan reaksi ibunya yang membuat sujud syukur setelah keputusan menyebelahi pihak Hariz. Humaira mengeluh berat.
“Aira…,” Humaira mengangkat muka memandang pemilik suara yang memanggilnya. Firdaus. Aminul Firdaus, orang yang dikasihinya dalam diam. Dia mengukir senyuman walaupun terasa begitu payah.
“Fir ada sesuatu nak bagitahu Aira,” Firdaus menggaru kepala. Dia nampak begitu gelisah.
“Apa dia?,” Humaira membetulkan beg sandangnya. Dia baru sahaja habis kelas. Dia ingin segera pulang ke hostel. Dia tiada hati untuk ikut serta bersama-sama temannya lepak di kafe.
“Sudikah Aira jadi kekasih Fir?,” dalam kepayahan, akhirnya Firdaus menuturkan ayat keramat itu. Dia nekad untuk memiliki gadis yang dipujanya sejak dahulu. Cinta pandang pertama yang sukar dilupakan. Atas nasihat abangnya, dia nekad untuk berterus-terang akan isi hatinya. Humaira terkedu. Ternyata selama ini dia tidak bertepuk sebelah tangan. Tapi sayang…
“Fir dah terlambat…”
“Maksud Aira?,” Firdaus tidak mengerti. Dadanya mula dilanda rasa yang tidak enak.
“Aira… Aira dah jadi tunang orang. Maafkan Aira,” matanya yang berair cuba disembunyikan dari pandangan Firdaus. Dia berlalu begitu saja meninggalkan Firdaus yang kaku tidak bergerak.
Firdaus terpana. Hatinya remuk. Dia terlambat. Kenapa ini yang terjadi?

Humaira menghempaskan diri di atas katil. Mukanya ditekup pada permukaan bantal. Dia menangis teresak-esak. Zahara terpinga-pinga melihat tindakan Humaira. Belum pernah Humaira menangis seteruk itu.
“Aira… kenapa ni?,” dia duduk di birai katil. Bahu Humaira dipegang.
“Kenapa semua ni terjadi pada aku, Ara?,” tubuh Zahara dipeluk erat.
“Apa yang terjadi, Aira? Aku tak faham. Cerita kat aku. Mana tahu aku boleh tolong,”  pujuknya lembut. Dalam kepalanya mula membuat andaian sendiri. Humaira menggeleng kepala.
“Menangislah kalau kau rasa dengan tangisan kau dapat legakan hati kau,” kepala Humaira di usap lembut. Resah dibuatnya melihat tangisan Humaira yang julung kali dilihatnya.
“Firdaus ajak aku couple,” ternganga mulut Zahara mendengarnya.
“Aku ingatkan masalah apa tadi. Terima saja. Bukankah kau pun mengharapkan cinta dia. Yang kau menangis beria-ria ni kenapa? Kau sepatutnya gembira sebab kau tak bertepuk sebelah tangan selama ni,” kata-kata Zahara membuatkan tangisan Humaira makin kuat. Zahara menepuk dahi. Kenapa pula ni? Aku silap cakap ke? Zahara menggaru kepalanya yang tiba-tiba terasa gatal.
“Kau tak faham, Ara,” ujarnya dalam tangisan.
“Cuba kau terangkan dan berhenti menangis,” Humaira mengangkat mukanya. Air mata disapu dengan tangan. Dia cuba menahan tangisan.
“Aku… akan berkahwin. Minggu depan,” air matanya laju menyusuri pipi. Rahang Zahara terasa jatuh kebawah. Biar betul?

~BERSAMBUNG~

A & B (1)



AHMAD BEHZAD ABDUL MALIK menyelak tirai yang menutup cermin di dalam pejabatnya. Matanya terarah kepada satu wajah yang kerap menghiasi mimpinya dikala malam. Wajah yang sentiasa membuat dia berada dalam kerinduan dan keresahan. Dia sendiri bingung dengan perasaan yang melanda hatinya. Benar! Kadang-kadang dia terfikir kenapa perempuan itu yang menjadi pilihan hatinya. Kenapa tidak perempuan lain? Dia benar-benar kehilangan idea. Setahun memendam perasaan, seakan tidak tertanggung oleh dirinya. Sehari tidak melihat wajah itu, dia bagaikan mati bini. Duduk tidak kena, berdiri tidak kena. Mandi tak basah. Makan tak kenyang. Perasaan itu dipendam sendiri. Tiada siapa yang mengerti rasa hatinya itu.

NUR AYUNI KASSIM DARUS tekun melakukan kerja yang diberi. Dia tidak menghiraukan suara-suara sumbang yang mengata dirinya. Sering mempersendakan faktor tubuhnya yang berisi. Dia memekakkan telinga selagi ia tidak mengganggu kerjanya. Bukan dia tidak berusaha mengurangkan berat badan tetapi semuanya tidak berhasil. Setiap hari dia dihidangkan makanan yang enak dan menyelerakan. Dia sendiri tidak sampai hati untuk menolaknya.
“Yuni, you nak kek tak? I ada bawakan untuk you. Mak I yang buat semalam,” Ayuni mengangkat kepala bila Nilam menyapanya. Dipejabat itu hanya Nilam satu-satunya sahabat yang rapat dengannya. Bukan dia tidak menghulurkan salam persahabatan kepada mereka yang lain, tetapi salam persahabatannya tidak disambut.
Of courselah I nak,” jawab Ayuni gembira. Seleranya terbuka luas bila hidungnya menyapa bau dari dalam bekas kek yang sengaja dibuka sedikit oleh Nilam. Bekas yang dihulurkan Nilam dicapai dengan senang hati.
“Aku tak tahulah Jia. Kalau tiap-tiap hari si Nilam bawakan bekal buat si gendut tu, mahu roboh syarikat ni nanti,” nah itu dia. Suara sumbang sudah mula kedengaran. Riak muka Nilam berubah. Dia melihat Ayuni yang selamba. Noriah sentiasa tidak berpuas hati dengan Ayuni tanpa sebab. Dia sendiri pelik.
“A’ah. Kalau runtuh aku tak tahulah mana nak cari kerja lagi,” Jia mula mengambil bahagian dalam aktiviti yang tidak pernah ditinggalkan Noriah dalam sehari. Dia berbalas senyum dengan Noriah. Gamaknya kalau sehari tidak mengata Ayuni, boleh demam agaknya minah dua orang ni, omel Nilam dalam hati. Dia hendak bersuara tapi dihalang oleh Ayuni. Ayuni menggeleng kepala beberapa kali.
“Oit Nilam. Kau jangan rapat sangat dengan si gendut tu. Karang berjangkit pula lemak-lemak dia kat tubuh kau,” rakan-rakan yang lain mula meledakkan tawa mendengar hinaan Noriah. Nilam mendengus kasar sambil memandang tepat muka Noriah dengan perasaan marah.
“Hei!! Kalau sehari kau tak mengata kat Ayuni tak sah ke hah!!,”senyap seketika suasana disitu apabila mendengar tengkingan Nizam. Masing-masing tersentak dan terkejut terutamanya Ayuni. Dia tidak menyangka Nizam yang selama ini serumpun dengan Noriah dan Jia bertindak membelanya. Sudah insafkan si Nizam ini? Noriah membulatkan mata. Belum pernah ada yang menengking dan menjerkahnya selama ini. Dia berdiri sambil bercekak pinggang.
“Yang kau tiba-tiba berubah baik ni kenapa Nizam? Kau dah jatuh hati kat si gemuk ni ke?!!,” Nizam juga turut berdiri.
“Cakap jangan sebarang cakap! Hina jangan sebarang hina! Hal aku urusan aku! Dan hal Ayuni juga urusan aku. Kau yang sepatutnya tanya diri kau kenapa kau sibuk dengan urusan Ayuni! Jangan kau nak selak kain orang lain kalau kain kau yang terselak tu kau tak pandai nak betulkan! Faham!!,” berdesing telinga Noriah bila disekolahkan oleh Nizam. Yang lain tidak berani hendak ikut campur dalam pertengkaran itu. Ayuni pula mendiamkan diri walaupun isu pergaduhan antara Noriah dan Nizam itu adalah dirinya sendiri.
“Kau jangan nak ajar aku…,” tertahan-tahan Noriah bersuara menahan marah. Jia diam tidak terkutik. Tidak berani menjawab bagi pihak Noriah. Bimbang dia pula diserang oleh Nizam. Bukan dia tidak kenal ketajaman kata-kata Nizam.
“Apa yang berlaku ni?!!,” suara Behzad yang lantang mematikan pergaduhan itu. Ayuni memberanikan diri mengangkat muka memandang wajah bosnya dimuka pintu. Gugup dia dibuatnya bila terpandang mata tajam yang menikam anak matanya. Segera dia menundukkan wajah.
“Noriah!! Nizam!!” Behzad masih tidak berpuas hati. Dia bukannya pekak hingga tidak mendengar pertengkaran yang berlaku diluar biliknya.
“Tak ada apa-apa En. Behzad,” jawabnya perlahan. Nizam tersenyum sinis.
“Kalau tak ada apa-apa kenapa saya dengar kecoh tadi? Ayuni?,” Ayuni meneguk liur. Kenapa nama aku pula yang disebut?
“Noriah yang mulakan dulu En. Behzad,” Nizam pantas menjawab. Tidak sanggup dia melihat muka Ayuni yang terpinga-pinga bila disoal Behzad.
“Hei, kau jangan nak mula!,” Noriah kembali meninggikan suara.
“Kenapa? Kau takut En. Behzad tahu yang kau dah banyak menabur hina pada Ayuni?!,” soal Nizam sengaja menaikkan marah Noriah.
“Kau jangan nak buat cerita, Nizam!”
“Kalau tak sungguh aku tak kata. Kau selalu burukkan nama Ayuni!,” muka Noriah seperti udang kena bakar.
“Yang kau bela si gendut ni kenapa?,” melengking suara Noriah menyuarakan ketidakpuasan hatinya.
Shut up!!,” jerkahan Behzad menutup mulut Noriah dan Nizam. Berdesing telinga Behzad mendengar celaan Noriah. Staf-staf dibahagian itu bertindak sebagai penonton. Jarang sekali mereka melihat pergaduhan seperti ini berlaku.
“Saya tak pernah ajar pekerja saya bertutur dengan ayat lancang seperti awak, Cik Noriah. If you want to stay, ubah perangai awak. Ini amaran pertama saya. Faham?!!,” Noriah mengangguk perlahan walaupun hatinya berdongkol geram. Dia menyumpah Nizam dan Ayuni di dalam hati.
And you Nizam. Tuan punya badan tak terkata apa, awak pula yang lebih. Ingat! Saya tak nak apa yang berlaku hari ini berulang lagi!,” Behzad merenung muka kedua-duanya sebelum pandangannya jatuh pada wajah Ayuni hanya untuk seketika cuma sebelum dia mengalihkan pandangan.
“Back to work!!” Behzad segera berlalu ke  biliknya. Dalam hati, dia berterima kasih kepada Nizam kerana sudi membela Ayuni. Noriah menjeling Ayuni tajam. Tidak berpuas hati. Nizam pula tersenyum sinis.

~Bersambung~

MILIK KITA (1)



Hari mula menampakkan kelam malam namun kelibat bapa saudaranya masih tiada. Humaira menarik nafas panjang lalu dihembus perlahan-lahan. Sudah hampir satu jam dia menunggu. Deringan telefon memeranjatkannya. Nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin telefon.
“Siapa pula ni?,” omelnya sendirian. Punat hijau ditekan.
“Assalamualaikum,”
“Waalaikumsalam. Aira ke ni?,” Humaira mengerut dahi. Siap tahu nama lagi. Siapa mamat ni?
“Ya saya. Siapa ni?,”
“Ni achik. Baba tak dapat datang ambil Aira. Aira ada kat mana sekarang ni?,” Humaira mengangguk kecil. Achik rupanya. Bila pulak mamat ni balik? Rajin pula dia kali ni. Mushkil aku.
“Aira?,”
“Ha… err… Aira ada kat pondok jaga ni. Achik kat mana tu?,” Humaira mula menjengah kepala ke luar pagar.
“Achik dah ada kat depan pintu pagar dah ni. Aira keluarlah, Achik tunggu,” melopong mulut Humaira bila melihat kereta BMW 5 series dihadapan pintu pagar.
“Ya,” terus talian dimatikan. Dia membimbit beg baju lalu melangkah menghampiri kereta mewah itu. Cermin kereta diketuk beberapa kali.
Hariz menjatuhkan cermin kereta. Matanya terpaku pada wajah Humaira yang sudah banyak berubah. Tidak seperti dulu. Gadis yang comot dan polos sudah menjadi jelita. Sungguh cepat masa berlalu. Terasa baru semalam dia menyakat dan mengenakan Humaira.
“Achik… ,” panggilnya perlahan. Hariz terpinga-pinga. Matanya berkelip beberapa kali. Malu kerana tertangkap merenung wajah putih kemerahan itu. Dia cuba menyembunyikan rasa malunya. Dia melangkah keluar dari kereta. Humaira menundukkan muka bila Hariz berdiri dihadapannya.
“Aira pi masuk dulu. Biar Achik masukkan beg ni dalam bonet,” Humaira mengangguk kecil. Dia menurut sahaja. Tidak betah berdiri lama dihadapan anak teruna Pak Usunya ini. Dadanya berdegup semacam saja. Terasa seperti ingin meletup saja rentaknya. Kalaulah boleh dilihat dengan mata kasar, jantungnya ini seakan mahu keluar dari dadanya.
Kereta mula bergerak. Masing-masing membisu tanpa sepatah kata. Yang kedengaran hanyalah nafas keresahan kedua-duanya.
Hariz mengerling ke arah Humaira yang mendiamkan diri sejak tadi. Dia lemas dalam situasi begitu.
“Berapa hari Aira cuti?,” suara Hariz mula memecah kedinginan antara mereka. Humaira menoleh seketika ke arah sepupunya itu.
“Dua minggu,” jawabnya pendek.
“Pak Usu pergi mana?,” soalnya pula. Hariz menelan liur.
“Er… baba ada kerja. Kawan dia call tadi. Maybe pasal rumah kot. Tak tau la Achik. Kenapa? Aira tak suka ke Achik jemput Aira?,” Aira menggeleng kepala. Hariz menghembus nafas kelegaan. Kalaulah Aira tahu aku tipu dia, mampus.
“Macam mana belajar? Okay tak?,”
“Okay,” Humaira membetulkan duduknya.
“Aira tak suka ke Achik jemput Aira?”Hariz ulang kembali pertanyaannya.
“Kenapa Achik tanya macam tu?,” Hariz tersenyum sedikit.
“Aira macam tak nak cakap je dengan Achik. Sepuluh patah Achik tanya sepatah Aira jawab,” Humaira menggigit bibir. Perasan juga mamat ni rupanya.
“Aira letih Achik. Maafkan Aira kalau Achik rasa macam tu”
“Aira rehatlah,” Humaira terus terdiam. Dah orang suruh, ikut saja la. Lagipun, dia malas hendak berborak dengan Hariz. Hariz menyembunyikan rasa kesalnya dalam hati. Dia tahu Humaira kurang senang dengan kehadirannya. Dia mula berfikir tentang rancangannya. Dia bimbang seandainya Humaira  menolak. Dia sudah tiada pilihan lagi. Kali ini dia terpaksa melibatkan keluarga. Moga-moga Humaira menerimanya.

Humaira melangkah keluar dari kereta dengan perasaan yang lega. Sepanjang perjalanan, nafasnya hampir semput kerana duduk satu kereta dengan sepupunya itu. Bukan dia tidak perasan Hariz selalu melihatnya dari ekor mata. Dia sedar semuanya. Sengaja dia tidak pedulikan semua itu.
“Aira…,” Humaira berpaling. Apa yang dia nak lagi. Terima kasih aku dah ucap. Barang semua dah ambil. Apa lagi yang tertinggal?
“Kasih Aira, Achik terima dengan seikhlas hati,” merah padam muka Humaira kerana malu. Dia menundukkan muka. Demam ke mamat ni? Omel Humaira perlahan. Cepat-cepat Humaira mengayun langkah kakinya.
“Aira!,” Humaira berpaling namun kakinya tetap melangkah kehadapan.
“Jumpa lagi,” Humaira mengangguk laju. Tidak kuasa dia melayan perangai gila Hariz.
“Adik…asal duk jalan mata tengok belakang?,” sergahan Zulhilmi memeranjatkannya. Zulhilmi mengikut arah mata Humaira.
“Eh… Riz! Bila kau balik? Marilah berbuka kat rumah,” Hariz tersengih memandang Zulhilmi, abang kedua Humaira. Dia berjalan menghampiri Zulhilmi.
Humaira menyumpah-nyumpah di dalam hati. Dia masuk ke rumah tanpa menegur abangnya.
“Aku sampai semalam. Kau sihat?,” Zulhilmi menyambut huluran tangan Hariz.
“Aku sihat selalu. Macam mana kerja kau kat sana? Takkan tinggal macam tu je?”
“Lupa pulak. Jemput masuk, Riz,” Zulhilmi ketawa kecil di ikuti Hariz.
“Aku minta tukar ke Malaysia. Aku pergi ambik Aira tadi. Baba ada kerja,” Zulhilmi mengangguk sambil tersenyum.
“Betul ke? Err… lamaran tu Aira dah tahu belum?,” Hariz menggeleng kepala.
“Kalau Mak Uteh tak bagitau, memang sah Aira tak tahu lagi. Aku takut dia tolak,” perlahan sahaja suara mereka. Bimbang topik yang sedang dibincangkan sampai ke telinga Humaira sebelum tiba waktunya.
Zulhilmi menepuk perlahan bahu Hariz.
“Kau jangan risau, Aira takkan tolak. Aku yakin seratus peratus,” Zulhilmi berkata yakin. Hariz gerun melihat keyakinannya yang terpancar pada wajah Zulhilmi.
“Aku takut nak letak harapan tinggi sangat. Takut tak tercapai tuk aku menggapainya”
“Kau ni terlebih risau. Bertenang, okay?,” Hariz mengangguk perlahan. Dia berserah saja pada tuhan. Solat istikharah sudah dilakukan tiga hari berturut-turut. Hanya wajah Humaira yang menghiasi mimpinya. Sekarang dia hanya berserah.
Humaira memandang kedua jejaka itu yang sedang berbicara perlahan. Dia malas untuk memasang telinga.
“Angah, mak suruh cepat. Dah dekat waktu ni!,” serius saja suaranya. Langsung tiada kemesraan.
“Dah bagitau belum yang Riz berbuka sekali dengan kita?,” Humaira mengangkat bahu dan berlalu. Dia rimas bila berlama di situ. Mata Hariz langsung tidak lepas memandangnya.
“Kenapa dengan dia tu?,” soal Zulhilmi hairan.
“Tak tau. Dia dah macam tu sejak dari dalam kereta lagi,” Hariz juga hairan dengan reaksi yang ditunjukkan Humaira.
“Dia dah tahu agaknya,” gumam Zulhilmi.
“Biar betul!,” Hariz menelan liur.
“Minta tak betullah, ya. Jomlah! Nanti membebel pulak mak aku,” Zulhilmi mula mengangkat punggung di ikuti Hariz.

~Bersambung~