Wednesday, February 22, 2012

A & B (1)



AHMAD BEHZAD ABDUL MALIK menyelak tirai yang menutup cermin di dalam pejabatnya. Matanya terarah kepada satu wajah yang kerap menghiasi mimpinya dikala malam. Wajah yang sentiasa membuat dia berada dalam kerinduan dan keresahan. Dia sendiri bingung dengan perasaan yang melanda hatinya. Benar! Kadang-kadang dia terfikir kenapa perempuan itu yang menjadi pilihan hatinya. Kenapa tidak perempuan lain? Dia benar-benar kehilangan idea. Setahun memendam perasaan, seakan tidak tertanggung oleh dirinya. Sehari tidak melihat wajah itu, dia bagaikan mati bini. Duduk tidak kena, berdiri tidak kena. Mandi tak basah. Makan tak kenyang. Perasaan itu dipendam sendiri. Tiada siapa yang mengerti rasa hatinya itu.

NUR AYUNI KASSIM DARUS tekun melakukan kerja yang diberi. Dia tidak menghiraukan suara-suara sumbang yang mengata dirinya. Sering mempersendakan faktor tubuhnya yang berisi. Dia memekakkan telinga selagi ia tidak mengganggu kerjanya. Bukan dia tidak berusaha mengurangkan berat badan tetapi semuanya tidak berhasil. Setiap hari dia dihidangkan makanan yang enak dan menyelerakan. Dia sendiri tidak sampai hati untuk menolaknya.
“Yuni, you nak kek tak? I ada bawakan untuk you. Mak I yang buat semalam,” Ayuni mengangkat kepala bila Nilam menyapanya. Dipejabat itu hanya Nilam satu-satunya sahabat yang rapat dengannya. Bukan dia tidak menghulurkan salam persahabatan kepada mereka yang lain, tetapi salam persahabatannya tidak disambut.
Of courselah I nak,” jawab Ayuni gembira. Seleranya terbuka luas bila hidungnya menyapa bau dari dalam bekas kek yang sengaja dibuka sedikit oleh Nilam. Bekas yang dihulurkan Nilam dicapai dengan senang hati.
“Aku tak tahulah Jia. Kalau tiap-tiap hari si Nilam bawakan bekal buat si gendut tu, mahu roboh syarikat ni nanti,” nah itu dia. Suara sumbang sudah mula kedengaran. Riak muka Nilam berubah. Dia melihat Ayuni yang selamba. Noriah sentiasa tidak berpuas hati dengan Ayuni tanpa sebab. Dia sendiri pelik.
“A’ah. Kalau runtuh aku tak tahulah mana nak cari kerja lagi,” Jia mula mengambil bahagian dalam aktiviti yang tidak pernah ditinggalkan Noriah dalam sehari. Dia berbalas senyum dengan Noriah. Gamaknya kalau sehari tidak mengata Ayuni, boleh demam agaknya minah dua orang ni, omel Nilam dalam hati. Dia hendak bersuara tapi dihalang oleh Ayuni. Ayuni menggeleng kepala beberapa kali.
“Oit Nilam. Kau jangan rapat sangat dengan si gendut tu. Karang berjangkit pula lemak-lemak dia kat tubuh kau,” rakan-rakan yang lain mula meledakkan tawa mendengar hinaan Noriah. Nilam mendengus kasar sambil memandang tepat muka Noriah dengan perasaan marah.
“Hei!! Kalau sehari kau tak mengata kat Ayuni tak sah ke hah!!,”senyap seketika suasana disitu apabila mendengar tengkingan Nizam. Masing-masing tersentak dan terkejut terutamanya Ayuni. Dia tidak menyangka Nizam yang selama ini serumpun dengan Noriah dan Jia bertindak membelanya. Sudah insafkan si Nizam ini? Noriah membulatkan mata. Belum pernah ada yang menengking dan menjerkahnya selama ini. Dia berdiri sambil bercekak pinggang.
“Yang kau tiba-tiba berubah baik ni kenapa Nizam? Kau dah jatuh hati kat si gemuk ni ke?!!,” Nizam juga turut berdiri.
“Cakap jangan sebarang cakap! Hina jangan sebarang hina! Hal aku urusan aku! Dan hal Ayuni juga urusan aku. Kau yang sepatutnya tanya diri kau kenapa kau sibuk dengan urusan Ayuni! Jangan kau nak selak kain orang lain kalau kain kau yang terselak tu kau tak pandai nak betulkan! Faham!!,” berdesing telinga Noriah bila disekolahkan oleh Nizam. Yang lain tidak berani hendak ikut campur dalam pertengkaran itu. Ayuni pula mendiamkan diri walaupun isu pergaduhan antara Noriah dan Nizam itu adalah dirinya sendiri.
“Kau jangan nak ajar aku…,” tertahan-tahan Noriah bersuara menahan marah. Jia diam tidak terkutik. Tidak berani menjawab bagi pihak Noriah. Bimbang dia pula diserang oleh Nizam. Bukan dia tidak kenal ketajaman kata-kata Nizam.
“Apa yang berlaku ni?!!,” suara Behzad yang lantang mematikan pergaduhan itu. Ayuni memberanikan diri mengangkat muka memandang wajah bosnya dimuka pintu. Gugup dia dibuatnya bila terpandang mata tajam yang menikam anak matanya. Segera dia menundukkan wajah.
“Noriah!! Nizam!!” Behzad masih tidak berpuas hati. Dia bukannya pekak hingga tidak mendengar pertengkaran yang berlaku diluar biliknya.
“Tak ada apa-apa En. Behzad,” jawabnya perlahan. Nizam tersenyum sinis.
“Kalau tak ada apa-apa kenapa saya dengar kecoh tadi? Ayuni?,” Ayuni meneguk liur. Kenapa nama aku pula yang disebut?
“Noriah yang mulakan dulu En. Behzad,” Nizam pantas menjawab. Tidak sanggup dia melihat muka Ayuni yang terpinga-pinga bila disoal Behzad.
“Hei, kau jangan nak mula!,” Noriah kembali meninggikan suara.
“Kenapa? Kau takut En. Behzad tahu yang kau dah banyak menabur hina pada Ayuni?!,” soal Nizam sengaja menaikkan marah Noriah.
“Kau jangan nak buat cerita, Nizam!”
“Kalau tak sungguh aku tak kata. Kau selalu burukkan nama Ayuni!,” muka Noriah seperti udang kena bakar.
“Yang kau bela si gendut ni kenapa?,” melengking suara Noriah menyuarakan ketidakpuasan hatinya.
Shut up!!,” jerkahan Behzad menutup mulut Noriah dan Nizam. Berdesing telinga Behzad mendengar celaan Noriah. Staf-staf dibahagian itu bertindak sebagai penonton. Jarang sekali mereka melihat pergaduhan seperti ini berlaku.
“Saya tak pernah ajar pekerja saya bertutur dengan ayat lancang seperti awak, Cik Noriah. If you want to stay, ubah perangai awak. Ini amaran pertama saya. Faham?!!,” Noriah mengangguk perlahan walaupun hatinya berdongkol geram. Dia menyumpah Nizam dan Ayuni di dalam hati.
And you Nizam. Tuan punya badan tak terkata apa, awak pula yang lebih. Ingat! Saya tak nak apa yang berlaku hari ini berulang lagi!,” Behzad merenung muka kedua-duanya sebelum pandangannya jatuh pada wajah Ayuni hanya untuk seketika cuma sebelum dia mengalihkan pandangan.
“Back to work!!” Behzad segera berlalu ke  biliknya. Dalam hati, dia berterima kasih kepada Nizam kerana sudi membela Ayuni. Noriah menjeling Ayuni tajam. Tidak berpuas hati. Nizam pula tersenyum sinis.

~Bersambung~

No comments: